top of page

ADAT RESAM ETNIK DUSUN


1.1 Perkahwinan
Dalam konteksi komunikasi, ibu bapa bertanggungjawab memilih bakal isteri anak lelakinya. Setelah peminangan diterima oleh pihak keluarga perempuan, majlis perkahwinan akan dilakukan pada masa yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak dan lazimnya dilakukan pada waktu malam di rumah pengantin perempuan. Pada malam pertama si suami harus bermalam di rumah keluarga isterinya dan kemudiannya pasangan pengentin ini akan diarak ke rumah keluarga lelaki dan perempuan selama tiga kali berturut-turut. Sebelum pengantin dibenarkan masuk ke dalam rumah, pihak tuan rumah keluarga lelaki/perempuan menyanyi atau "Selakohan Sinding" dan dibalas oleh rombongan. Selakohan sinding ini bertujuan menyambut kedatangan rombongan pengantin baru tetapi diluahkan dalam bentuk nyanyian.

​

1.2 Mendiri dan Masuk Rumah Baru:
Mendirikan dan masuk rumah baru hendaklah dimulai dengan upacara "Tumedek" atau menanda. Upacara ini hendaklah dilakukan pada hari-hari penting bagi masyarakat Dusun yang dipanggil "Tadau Rampagas, Tanob, Selimpunan do kesilau, Selimpunaan Tadau Daat, Selimpunaan Tulan Daat, Kepuposan Tulan Daat dan Selimpunan Tulan Kelimo". Begitu juga dengan masuk rumah baru harus pada hari-hari yang terpilih dan diiringi dengan upacara sembahyang doa atau Megembawon / Mengendi. Upacara ini dilakukan oleh golongan tua yang mahir untuk mengendi. Lazimnya golongan perempuan yang melakukan upacara megendi dan bukan daripada golongan leleki.

​

1.3 Hari Keluarga atau "Meginakan"
Masyarakat Dusun mempunyai upacara perpaduan keluarga yang dipanggil meginakan. Semua ahli kelurga dijemput dan satu upacara menyembahyangkan arak Gampian Kinomol yang diketuai oleh mereka yang mahir megendi serta dijalankan pada waktu malam. Setelah selesai upacara tersebut, mereka mengambil bambu atau "Telutuk" untuk dipukul "Tontongon" bagi mengeluarkan bunyi. Menurut kepercayaan mereka memukul bambu bertujuan memperbaiki dunia. Hari keluarga ini dihadiri semua ahli keluarga dan masyarakat kampung selama 7 hari berturut-turut.

1.4 Ketian
Ketian ialah seorang lelaki yang menyebabkan seorang perempuan mengandung tanpa sebab perkahwinan yang sah. Natijahnya lelaki dicaci dan dikehendaki membayar denda atau sogit berupa babi atau kerbau. Tujuannya menyejukkan panas dalam ahli keluarga dan masyarakat kampung serta memberitahu masyarakat kampung bahawa pesalah telah dihukum setimpal dengan kesalahannya.
1.5 Mencuri atau "Manakau"
Pencuri dapat dikenal pasti dengan bantuan bomoh yang mahir melalui upacara "mengintutun". Alat-alat yang digunakan semasa mengintutun ialah telur ayam atau cermin. Semasa mengintutun, beberapa ahli keluarga dan masyarakat kampung datang sama-sama menyaksikan upacara mengintutun. Biasanya, bomoh akan memberitahu siapa yang mencuri dan biasanya tuduhan bomoh dipercayai oleh ahli keluarga dan majoriti masyarakat. Implikasinya, orang yang kena tuduh akan mendapat cacian dan celaan masyarakat kampung untuk beberapa waktu. Sebaliknya, pesalah yang melakukan kesalahan besar seperti mencuri kerbau boleh dihalau keluar "elohon" dari kampungnya.

​

1.6 Kahwin Bersaudara atau "Kepingaian Miadpinai"
Adalah menjadi kesalahan besar bagi masyarakat Dusun, jika seseorang lelaki atau perempuan berkahwin dengan seseorang yang dipercayai masih ada talian persaudaraan. Jika perkahwinan dilangsungkan juga, si lelaki dan perempuan akan dikenakan hukuman denda iaitu "Pitas" yang terdiri daripada 7 kerbau, 7 ayam, 7 perang, 7 tajau dan 7 mangkuk. Tujuannya ialah memutuskan tali persaudaraan untuk membolehkan mereka berkahwin. Pitas bagi lelaki hendaklah diberi kepada pihak keluarga perempuan dan pitas perempuan pula diberikan kepada keluarga lelaki. Pembayaran pitas ini dipanggil "Mesulak" atau sama-sama membayar denda (bertukar-tukar barang denda).

​

1.7 Curang atau "Melapau"
Seseorang lelaki atau perempuan yang telah berkahwin tidak boleh berlaku curang terhadap si suami atau si isteri . Jika berlaku kecurangan hendaklah dikenakan denda berupa kerbau atau babi. Tujuannya adalah dimakan bersama ahli keluarga yang dicuranginya iaitu isteri atau suami dan anak-anak.

​

1.8 Kematian atau "Kepataiyen"
Bila kematian berlaku dalam masyarakat Dusun tradisi, ahli keluarga si mati akan memukul gong "Tontong sanang"yang bertujuan memberitahu ada kematian dalam ahli keluarga dan disertai turun dari rumah atau "menuhon" bertujuan cuba menahan roh simati atau kedwo-dwo melalui benda-benda yang diambil dipersekitaran halaman rumah si mati untuk disapukan di ubun-ubun kepala si mati dengan harapan si mati hidup semula. Selain itu, satu lagi alat komunikasi digunakan untuk memberitahu masyarakat kampung bahawa adanya kematian dalam sesebuah keluarga iaitu menggunakan buluh untuk dibunyikan atau "Mengarasapong". Semasa si mati dibawa ke kubur, ahli-ahli keluarga akan meraung-raung dan memukul bekas letak si mati. Pada malam pada hari perkuburan, ahli keluarga akan mengadakan upacara memisah dengan menutup semua lampu dalam rumah. Tujuannya ialah agar roh si mati akan balik ke rumah untuk "megoit-megoit" atau membawa dan mengambil barang-barang milik si mati. Pada hari ketiga (3) pula, ahli keluarga simati mengadakan upacara pembahagian atau "Ikidan / angkiban" . Benda yang boleh dijadikan angkiban ialah ternakan dan tanaman. Tujuannya ialah mengadakan pembahagian harta untuk simati. Contoh narrator ialah " Anu bin Dia, ini saja bahagian mu. Jangan lagi ganggu kami". Pembahagian ini dilakukan dengan tangan kiri dan membelakang. Pada hari kelima atau ketujuh pula, upacara keselamatan yang dipanggil "Memagompi" melalui upacara mengendi dilakukan dengan bantuan sesorang yang mahir megendi.

bottom of page